Suami hanyalah tetamu
Saya berpendapat kebanyakan masalah yang sering melanda rumahtangga berpunca daripada sikap wanita sendiri yang terlalu sayangkan suami, sanggup mengabdikan diri asalkan suami sayang, walaupun ada kalanya boleh menjerat diri. Demikian cerita Marlisya dalam e-melnya.Bertambah gigil bila ustaz kata syurga di bawah tapak kaki suami, maka isteri jadi lebih takut, taat membabi buta tanpa mengira sama ada suami itu penzina, peminum, kaki pukul dan tak bertanggungjawab, hingga mereka lupa masa depan sendiri. Pada saya isteri seperti itu hanya membodohkan diri sendiri.
Kebanyakan suami berpendapat kasih sayangnya setinggi gunung, melimpah ruah sehingga boleh dikongsi ramai wanita yang menjadi isteri-isteri ataupun kekasih. Kerana itulah saya berpendapat suami adalah tetamu dalam kehidupan saya. Suami boleh datang dan pergi sesuka hatinya. Hari ini dia boleh sayangkan kita esok lusa dia boleh berubah dan mencintai orang lain pula.
Jadi nasihat saya kepada isteri berpada-padalah memberi cinta, kasih dan sayang kepada suami, janganlah sampai menghambakan diri. Kerana jika bercerai suami tetap dipanggil sebagai bekas suami, sudah tiada hubungan lagi dengan kita. Ketika itu jika nasib kurang baik, anak-anak pun dia buat-buat tak kenal kerana tak mahu bertanggungjawab.
Demikian juga halnya dengan anak-anak yang saya ibaratkan juga sebagai tetamu. Sewaktu kecil kita jaga, didik dan membesarkan mereka. Itu tanggungjawab kita, tetapi setelah berkahwin, mereka ada keluarga sendiri, akhirnya kita semakin jauh daripada hidup mereka, hanya sesekali mereka datang menjengok kita ibarat tetamu.
Memberi kasih sayang, cinta kepada manusia biarlah berpada-pada, kecuali kepada Allah. Ada isteri terlalu fanatik mencintai suami hingga sanggup mengabaikan diri sendiri. Pada saya itu isteri bodoh.
Saya bercakap dari pengalaman sendiri. Pernah 20 tahun dulu suami saya jatuh cinta dengan seorang janda dan bercadang untuk berkahwin. Janda itu kawan baik saya. Bila berita tersebut tersebar saya telefon ibu janda itu dan nasihatkan beliau supaya izinkan anaknya berkahwin.
Ketika itu saya ada dua orang anak. Tetapi saya setitik air mata pun tak tumpah kerana peristiwa itu. Rasanya tak berbaloi saya nak menangis. Sambil menolong suami memasukkan pakaian dalam beg, saya kata padanya; ''Saya reda awak kahwin dengan wanita itu sekiranya dia lebih baik daripada saya. Mungkin juga Allah nak pertemukan saya dengan lelaki yang lebih baik daripada awak.'' Agaknya kata-kata saya pedas, akhirnya dia tak jadi kahwin, mungkin dia fikir jika saya diceraikan dia takut saya berkahwin dengan lelaki lain yang mungkin lebih baik daripadanya. Dia jadi cemburu.
Kewangan
Kini setelah 30 tahun berkahwin dan ada tiga orang anak, kesimpulannya saya rasa tidak perlu mencintai suami 100 peratus, sebaliknya saya jadi isteri yang mementingkan diri sendiri. Saya berkira dalam soal kewangan walaupun 80 peratus perbelanjaan rumah, saya yang sumbang seperti duit pasar, termasuklah duit pengasuh anak ketika mereka kecil dan duit tuisyen setelah mereka besar. Saya reda, biarlah Allah beri keberkatan kepada saya.
Nasihat saya isteri jangan bergantung 100 peratus pada suami, buat simpanan sendiri, jangan buka akaun bank simpanan bersama, jangan beritahu jumlah duit kita, jangan jadi penjamin kalau suami nak pinjam bank. Kerana kalau ada simpanan sendiri anda tak takut jika suami buat hal, kerana kita pun boleh letak jawatan jadi isteri dengan hati tenang.
Nasihat emak penuh berkias kepada saya ketika berkahwin dulu, katanya;
''Kalau sayang sangat suami jangan tidur dalam perut suami.'' Puas saya fikir apa maksud emak rupanya emak pesan jangan terlalu percayakan suami walaupun kita sayang dia.
Ayah pulak ketika saya kahwin dia hadiahkan sebilah kapak kecil (yang saya simpan sampai kini). Ia sebagai simbolik supaya saya jadi isteri yang tabah, cekal dan berani mempertahankan diri dari segala dugaan dan ancaman. Sungguh dalam makna dan nasihat emak ayah kepada saya.
Jika ada masa saya pergi melancong keluar negara, ke Eropah, Korea dan China atau ke mana sahaja saya teringin. Hati saya tenang di samping anak-anak yang masih menuntut, sebab lepas kahwin saya lambat dapat anak. Kini suami semakin sayangkan saya. Mungkin dia sedar kesilapannya dan merasa rugi kalau ceraikan saya.
Kepada isteri-isteri yang masih terperangkap dengan masalah dan perangai suami, kerana kesilapan sendiri terlalu mencintainya sepenuh hati, bawalah bersabar. Anda masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan demi masa depan anda. Dekatkan diri dengan Allah semoga anda mendapat ketenangan dan ganjaran-Nya.
Kepada ibu bapa yang ada anak perempuan yang akan atau sudah berkahwin titiplah nasihat agar mereka dapat menempuh hidup ini dengan hati terbuka, berani dan cukup bersedia menghadapi masalah rumahtangga.
Jika ada anak lelaki nasihat mereka supaya jadi suami bertanggungjawab, kerana kebanyakan punca keruntuhan rumahtangga hari ini adalah kerana kaum lelaki tidak tahu jalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh Allah.
Ingatlah wahai suami semua, hidup anda dan kita semua bukan di dunia ini sahaja, akhirat kelak kita akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita lakukan semasa hayat kita.
"Bagi saya hidup ini terlalu singkat kerana itu wanita perlu mencari sendiri kebahagian, jangan tunggu orang lain membahagiakan kita dan lebih penting jangan perbodohkan diri untuk keselesaan orang lain, walaupun suami sendiri. Sebaiknya isteri juga mesti mencari keselesaan hidup di dunia dan di akhirat.", pesanan Marlisya menutup cerita.
Sumber diambil daripada email dikantur ketika aku sedang goyang kaki baru sahaja lepas mem-print beberapa PO. Besar juga kesedaran yang aku peroleh. Renung-renungkanlah kepada bakal isteri, isteri dan tidak lupa kepada pasangan kekasih yang menunggu hari diijab kabulkan.Tentunya kepada aku juga.
No comments:
Post a Comment